Sampah sarap (municipal solid waste) dianggap sebagai bahan yang tidak berguna dan tidak mendatangkan sebarang faedah, malah boleh mendatangkan mudarat jika disimpan. Dengan itu, selalunya sisa-sisa tersebut dibuang dan dilonggokkan di tempat-tempat pembuangan sampah sama ada menggunakan teknik pembuangan yang betul atau sebaliknya. Sampah boleh dikategorikan kepada dua, iaitu sampah domestik dan sampah bukan domestik (Ridwan Lubis, 1994). Sampah domestik adalah bahan-bahan buangan yang dibuang dari rumah atau dapur. Contohnya seperti botol, kaca, tin aluminium, beg plastik, kertas, pakaian buruk dan juga sisa makanan. Sampah bukan domestik pula adalah bahan-bahan buangan yang terhasil dari industri, tapak pembinaan, pekedai atau pasar dan pejabat. Bahan-bahan buangan ini terdiri daripada pelbagai jenis termasuklah sisa jualan, sisa pembuangan dan sisa daripada proses pengilangan.